Program 'On Boarding' (O-BOARD) Platform Rai Staf Baharu dan Perkenalkan UUM

ONBOARD

Bagi meraikan staf baharu, selain membina jaringan dengan komuniti di Universiti Utara Malaysia (UUM), program ‘Social O-Board – Explorace’ Kumpulan 1 telah diadakan di sekitar kampus, baru-baru ini.

Program anjuran Unit Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar itu mempunyai empat skop yang mewakili Knowledge O-Board, Social O-Board, Performance O-Board dan Talent O-Board.

Ketua Unit Pembangunan Bakat, Wan Norhashima Wan Min berkata, objektif program adalah sebagai proses orientasi tersusun bukan sahaja meraikan staf baharu, malah bagi membolehkan mereka mengenali kekayaan sumber alam dalam kampus Sintok dan meluaskan jaringan dengan masyarakat setempat.

Menurutnya, skop Social O-Board – Explorace Kumpulan 1 disertai seramai 46 staf baharu terdiri staf gred 29 hingga 41 dari pelbagai skim perkhidmatan dan status jawatan termasuk staf tetap dan kontrak. Menerusi skop Social O-Board, peserta perlu menyelesaikan lapan tugasan dalam ‘explorace’ itu.

Antara tugasan yang perlu dilengkapkan adalah sesi interaksi dengan Ketua Pusat Tanggungjawab seperti Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA), Azian Nafiah; Pengarah UUM Press, Rosma Ishak; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Huzaidy Hussain.

Sesi penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah. Beliau juga menyampaikan beberapa panduan dan nasihat untuk staf baharu supaya menyiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran untuk sama-sama membangunkan UUM.  

Ahmad Rasidi menyatakan bahawa program ‘explorace’ merupakan satu medium yang boleh memupuk semangat bekerjasama dalam satu pasukan dan saling mengenali antara staf baharu serta menikmati keindahan kampus UUM.