Program Rejimental Siri 1/2023 - Pegawai Tadbir & Ikhtisas Dan Pegawai Kumpulan Sokongan 1

rejimental

UUM ONLINE: Pegawai Tadbir & Iktisas Dan Pegawai Kumpulan Sokongan 1 berjaya menamatkan latihan setelah mengharungi cabaran selama 3 hari 2 malam yang mendebarkan.

Latihan lasak dalam Program Rejimental Siri 1- 2023 bagi Pegawai Tadbir & Ikhtisas Dan Pegawai Kumpulan Sokongan 1 Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan anjuran Unit Latihan Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Markas PALAPES UUM.   

Peserta, Nur Faizah Azali berkata, program sebegini memberi peluang mempelajari pelbagai ilmu kemahiran yang memberi nilai tambah seperti kepimpinan, disiplin dan juga semangat setiakawan dalam apa keadaan sekalipun.

“Latihan yang dilalui bersama berupaya meningkatkan kerjasama antara pasukan selain menguji kekuatan mental dan fizikal. Saya rasa inilah perkara yang membantu kita untuk menjadi lebih berkeyakinan, prihatin dan saling menghormati.

“Program ini menjadikan kami saling mengenali, jika sebelum ini hanya berhubung melalui panggilan telefon sahaja, ini boleh memudahkan kami berurusan dan meningkatkan kerjaya dalam bidang masing-masing.

“Kejayaan dalam mengharungi cabaran selama tiga hari sudah menjadi satu detik yang dinanti-nantikan setelah mencurahkan keringat yang menguji daya tahan fizikal dan mental yang tinggi,” ujarnya dari Inasis TNB.

Bagi staf Hal Ehwal Akademik, Mohd Azri Md Nadzri pula, menyertai rejimental memberinya dimensi baru dalam memupuk jiwa kental dan nilai positif sebagai panduan bagi menghadapi hari mendatang.

“Sepanjang tiga hari berkampung di sini, peserta telah menjalani pelbagai latihan yang melibatkan kekuatan fizikal mental di mana kami telah mengharungi pahit getir dan cabaran yang menguji keupayaan, ketabahan dan kesabaran serta memupuk semangat berpasukan.

“Lasak memang lasak misalnya kami merentasi hutan, ‘repelling’, menyeberang sungai sekali gus menambah pengalaman berharga serta kemahiran dalam bidang yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini.

“Paling penting adalah semangat berpasukan dan juga semangat juang yang tinggi dapat diaplikasikan dalam mendepani cabaran hidup yang semakin mencabar,” ujarnya.  

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, Pegawai Tadbir dan Ikhtisas dan Pegawai Kumpulan Sokongan 1 merupakan kumpulan yang memainkan peranan penting dalam membuat perancangan, mengurus, melaksana serta menyelia semua dasar dan perancangan Universiti.

“Melalui program seumpama ini diharapkan para pemimpin dan pentadbir dapat mempamerkan semangat bekerjasama, saling melengkapi dan bantu-membantu di antara satu sama lain dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

“Dalam mengurus tadbir sama ada kecil atau besar sesebuah organisasi itu, kecekapan memimpin dan membuat keputusan merupakan salah satu aspek yang perlu ditekankan,” ucapnya ketika Majlis Penutupan Program Rejimental Siri 1/2023 UUM di Kem PLKN Sintok.

Katanya, program kali keempat ini diadakan sejak 2014 untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan staf agar bekerjasama dalam menjalakan tugas.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan program sekali gus mengeratkan hubungan antara pegawai.

“Apabila saling mengenali dengan lebih dekat memudahkan sesuatu masalah itu diuruskan di samping membentuk jati diri dalam menjalankan tanggungjawab dengan mengutamakan kepentingan universiti dan negara dalam membangunkan anak bangsa yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan,” ujarnya.