Staf UUM terima sijil akreditasi Pertolongan Cemas Kesihatan Mental

1

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Peningkatan kes kesihatan mental akhir-akhir ini telah mendorong Universiti Utara Malaysia (UUM) menghantar sembilan staf menjalani kursus Pertolongan Cemas Kesihatan Mental (Mental Health First Aid) hingga melayakkan mereka menerima sijil akreditasi, baru-baru ini.

Unit Latihan, Jabatan Pendaftar bersama Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UUM dengan kerjasama Malaysia Mental Health Association (MMHA) telah melaksanakan kursus berkenaan pada 14 hingga 22 Julai lalu.

2

Pengarah PKU, Dr. Adi Azhar Abdul Razak berkata, usaha ini diambil lanjutan daripada peningkatan kes yang melibatkan kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan staf UUM dan dijangkakan ia akan terus meningkat pada masa hadapan.

Menurutnya, seramai sembilan staf terlibat telah mengikuti kursus selama empat hari secara atas talian dan di akhir kursus, peserta telah menduduki ujian penilaian sebelum layak mendapat sijil akreditasi Pertolongan Cemas Kesihatan Mental.

Sijil tersebut sah laku untuk tempoh tiga tahun dan peserta diiktiraf sebagai Pemberi Pertolongan Cemas Kesihatan Mental bertauliah (Certified of Mental Health First Aider).

3

Ahmad Rasidi (dua, kanan) menyerahkan sijil akreditasi Pertolongan Cemas Kesihatan Mental kepada peserta kursus, Haslida Ismail.

Sementara itu, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah berharap staf yang telah ditauliahkan sebagai ‘Certified of Mental Health First Aider’ ini dapat memberikan sokongan dan bantuan kepada staf atau pelajar yang mempunyai masalah kesihatan mental.

“Mereka juga diharapkan dapat bekerjasama dengan Kaunselor UUM sebagai salah satu ‘support system’ kepada staf dan pelajar yang memerlukan bantuan,” ujar beliau.

Staf yang diiktiraf sebagai Certified Mental Health First Aider:

1. Dr. Firdaus Romli (PKUUUM)

2. Dr. Harith Fadillah Hassan (PKUUUM)

3. Dr. Fatin Farha Mohd Saifuddin (PKUUUM)

4. Nur Safinaz Mukhtar (PKUUUM)

5. Haslida Ismail (PKUUUM)

6. Ruzaidi Ramli (MDUUM)

7. Nurul Hamizah Zafirah Selamat (PKUUUM)

8. Dr. Nor Azura A. Rahman (JHEP)

9. Roslina Abdullah (Jabatan Pendaftar)